Pencinta Allah tidak kenal penat. Peluh hanya dikesat, air mata hanya bergenang, darah hanya dilap dengan tisu. Walau suhu badan meningkat, dia tidak peduli, makin aktif ke sana ke mari. Prinsipnya, jika dilayan demam, maka akan bertambah teruk. Bukan sekadar prinsip, tapi itulah yag dipelajarinya dari pengalaman lepas. Justeru, peluh yang mengalir keluar ketika sibuk aktif ke sana ke mari itulah yang akan menyihatkan badannya kembali dengan izin kekasihnya Allah.
~
Waktu rindu menyapa, dan kenangan lalu terimbau, dia menepis sambil tersenyum sendiri. Lantas tangan diangkat memohon ampunan Kekasihnya untuk ayahanda bonda dan sahabat-sahabat yang dirindui. Dia bermohon bertemu mereka kembali di dunia atau Syurga. Saat kenangan pahit merasuk hati, dia terduduk lantas memohon ampunan dari Kekasihnya Yang Esa agar mengampunkan dosa dan kesilapannya yang lalu. Dia merayu “ Oh Allah, terlalu banyak, melaut dosaku pada-Mu, apa yang harus aku bayar sebagai galang gantinya agar aku tidak dibakar di neraka-Mu”.
~
Bila matanya mula mengantuk, dia melawan, lantas buku-buku kisah perjuangan sahabat dan srikandi zaman Rasulullah s.a.w dan kisah anak-anak Palestin menjadi tatapannya. Lantas, hatinya sebak, matanya bulat, jiwanya meronta memohon kekuatan Tuhan untuk izinkan dirinya tetap istiqamah dalam perjuangan. Tekadnya kembali gagah. Dia berdiri, mengambil pensel dan diarinya lalu mula berfikir dan membuat catatan itu dan ini.
~
Bila mendengar berita kawan-kawannya bertemu jodoh. Alangkah bahagia hatinya. Sejuk jiwanya mendengar terbinanya masjid baru dalam sejarah kekeluargaan Islam. Didoakan bahagia pada sahabatnya dan dinasihatkan padanya agar menjadi isteri solehah yang taat pada suami dan menjaga makan pakai suami. Bila kawan-kawannya melahirkan anak kecil yang comel menambah umat Nabi s.a.w, ditatapnya gambar sambil memuji Cinta hatinya” Subhanallah, comelnya. Semoga menjadi pejuang Islam yang hebat seperti ibumu. Amin.”
~
Bila dia nampak katil, dipandangnya sepi, teringat di fikirannya video kelahiran bayi melalui kaedah Caesarean yang kelihatan amat menyakitkan. Hampir sahaja air matanya tumpah. “ Ya Allah, dahsyatnya pengorbanan ibuku melahirkan aku, ampunkan dosanya ya Allah, golongkan ibu ayahku di Syurga-Mu dan kurniakan keampunan dan kasih sayang-Mu buat mereka. Jadikanlah aku anak soleh yang membahagiakan mereka. Amin”.
~
Bila sudah jauh kaki menapak menuju medan juang, dia berhenti sejenak, mengambil nafas dan membina kekuatan semula, menyapa makcik-makcik di pinggiran rumah masing-masing yang sedang bersembang sesama mereka. Dia bertanya khabar dan mendengar kata-kata mereka yang baginya penuh dengan pengalaman berharga. Setelah men ‘cas’ semula baterinya, dia mengucapkan salam dan memohon diri. Kakinya mula menapak kembali penuh bersemangat. Perjuangan diteruskan demi Allah, Kekasihnya. Moga Syurgalah tempatnya. Amin.
~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan